NILAI, 30 Oct – Institute of Halal Research and Management (IHRAM), di bawah pusat International Fatwa and Halal (iFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Bicara Halal yang bertemakan Halal in airlines industry: From a chef perspective.

Chef Zainuddin Mohd Isa, Assistant Executive Chef, Brahim`s SATS Food Service telah menjadi penceramah jemputan untuk Bicara Halal siri ke empat ini bagi tahun 2019 bertempat di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.

Menurut Chef Zainuddin, Brahim`s SATS telah mematuhi piawaian Halal Malaysia daripada ladang hingga ke pinggan untuk perkhidmatan penyediaan makanan di dalam kapal terbang.

“Pemilihan bahan mentah sangat dititikberatkan oleh Brahim`s SATS di mana daging yang digunakan diperolehi bukan sahaja disembelih dengan mematuhi peraturan Islam tetapi cara penternakan dan makanan binatang tersebut harus mematuhi syarak juga”, kata Chef Zainuddin.

Chef juga menjelaskan hadirin yang hadir perbezaan antara `Wagyu Beef` dan `Kobe Beef` di mana kobe beef yang dibekalkan oleh Jepun telah diberi bir untuk menghasilkan daging yang berkualiti dan sekaligus ia tidak mematuhi kehendak halal.

Dalam pemilihan bahan mentah sayuran pula, Chef menjelaskan bahawa Brahim`s SATS memperolehinya secara terus di Cameron Highland yang menggunakan sistem hidrofonik untuk mengelakkan pencemaran daripada biological material, benda asing dan kandungan bahan kimia yang tinggi.

Selain itu Brahim`s SATS juga melatih pekerja bukan Islam untuk mematuhi piawaian Halal dalam penyediaan makanan untuk kapal terbang dan mengamalkan sertu untuk setiap pinggan, sudu dan cawan yang digunakan oleh syarikat penerbangan yang menggunakan perkhidmatan daripada Brahim`s STAT.

Menurut Chef lagi, konsep amanah dengan tidak mengurangi timbangan dan sukatan dalam penyediaan makanan amat dititikberatkan dalam penyediaan makanan yang berkualiti dan konsistent dari sudut rasa dan kuantiti bagi setiap hidangan.

“Dengan mengamalkan sukatan yang mematuhi piawaian yang ditetapkan setiap kualiti makanan yang dihasilkan oleh setiap chef yang berlainan mempunyai rasa yang sama dan kuantiti makanan yang sama bagi setiap penumpang”, jelas Chef Zainuddin.

Dalam penyediaan makanan untuk sajian di dalam kapal terbang cabarannya adalah makanan perlu dimasak 14 atau 15 jam sebelum hidangan dan perlu melalui proses Blast Chill dan disimpan di dalam suhu 4`C sebelum dihantar ke dalam kapal terbang, jelas Chef ketika ditanya oleh salah seorang hadirin yang hadir.

Bicara halal ini dihadiri 160 orang peserta yang terdiri daripada pelajar kolej Vokasional, pelajar USIM, wakil daripada syarikat SME, beberapa hadirin daripada Mas Awana Sdn Bhd, dan lain-lain.