NILAI, 29 September – International Fatwa and Halal Centre (iFFAH) menerima kunjungan delegasi Kolej Profesional MARA Bandar Melaka (KPMBM) yang diketuai oleh Pengarah KPMBM, Puan Mini Zanita binti Zakaria bersama sembilan (9) orang pegawai. Delegasi yang tiba di Pejabat iFFAH sekitar jam 2.00 petang ini telah disambut oleh Pengarah IHRAM, Profesor Madya Dr. Che Wan Zanariah binti Che Wan Ngah, bersama Timbalan Pengarah IHRAM, Penyelaras Makmal dan tiga (3) orang pegawai iFFAH.

Di awal pertemuan, Dr. Che Wan Zanariah menerangkan fungsi iFFAH sebagai sebuah pusat kecemerlangan di USIM, yang memacu sinergi fatwa dan halal menerusi fungsi utama penyelidikan, penerbitan, perundingan, latihan serta analisis makmal, selaras dengan aspirasi USIM ke arah Kampus Barakah melalui pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli.

KPMBM adalah sebuah institusi pendidikan tinggi di bawah Majlis Amanah Raya (MARA), yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak, mulia, dinamis, profesional dan berdaya keusahawanan. KPMBM menawarkan beberapa program akademik termasuk Diploma in Halal Industry (DHI), dengan medium utama penyampaian adalah Bahasa Inggeris.

Di akhir pertemuan, kedua pihak bersetuju untuk mewujudkan peluang kolaborasi baharu terutama di dalam pembangunan modal insan. Perkara ini akan diperhalusi melalui pebincangan terperinci yang akan diadakan dalam masa terdekat.