Kursus Latihan Jurusertu Profesional merupakan program lanjutan daripada siri asas yang telah dilaksanakan pada awal September yang lalu. Kursus lanjutan selama dua (2) hari ini telah berlangsung pada 9 dan 10 Oktober 2023 bertempat di Bilik Latihan Al-Qaradawi dengan penyertaan oleh 22 orang pengamal industri halal. Di antara topik yang dikongsikan meliputi konsep halal dan haram dalam Islam, konsep najis dan sertu menurut fiqh dan industri serta rukhsah dalam sertu termasuk isu-isu fiqh berkaitan. Selain itu, turut dibincangkan berkenaan isu sertu dalam perundangan halal di Malaysia dan sistem jaminan kualiti (QAS), selain perbincangan dari aspek teknikal melibatkan sains tanah dan mikrobiologi, dan diakhiri dengan latihan praktikal sertu industri. Sebelum bersurai, kesemua peserta telah menerima Sijil Jurusertu yang disampaikan sendiri oleh Pengarah IFFAH, Prof. Dr. Azman Ab. Rahman. Semoga program ini dapat melahirkan lebih ramai jurusertu yang mahir dari kedua-dua aspek syariah dan teknikal, sekaligus menyumbang kepada pembangunan industri halal Malaysia dan global.